Rabu, 19 Mei 2010

KHTP: Exco Kedah syok sendiri

ALOR SETAR 18 Mei - Bekas Timbalan Pengerusi Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP), Datuk Chong Itt Chew menyifatkan Exco Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Ir. Amiruddin Hamzah sebagai 'syok sendiri' apabila mendakwa jumlah pelaburan di taman industri itu terus meningkat dan tiada kilang yang ditutup.
Menurutnya, kerajaan negeri perlu memberikan butiran terperinci bagi menyokong dakwaan mereka bahawa pelaburan di KHTP telah meningkat sejak pakatan pembangkang mengambil alih pemerintahan negeri ini.
''Kerajaan negeri perlu menghebahkan nama pelabur baru itu dan jumlah pelaburan yang dibuat jika benar pelaburan di KHTP telah meningkat,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Malah beliau juga mahu kerajaan negeri menjelaskan sama ada benar atau tidak Fuji Electric, antara pelabur utama di KHTP telah memindahkan operasinya ke Filipina sehingga menyebabkan 2,000 pekerja kehilangan pekerjaan.
Beliau yang pernah memegang portfolio industri berkata, jika peningkatan pelaburan itu merujuk kepada First Solar Inc., ia bukan sesuatu yang boleh dibanggakan oleh pakatan pembangkang kerana syarikat itu membuat pelaburan semasa Barisan Nasional (BN) memerintah Kedah.
"Semasa itu First Solar telah membuat akujanji akan menambah pelaburan secara berperingkat-peringkat dalam tempoh beberapa tahun," ujarnya.
Beliau berkata demikian sebagai reaksi terhadap dakwaan kerajaan negeri bahawa tiada pekerja di Intel Inc. (Intel) diberhentikan ekoran penutupan unit pembangunan, pengujian dan pemasangannya di KHTP.
Penafian itu dibuat oleh Amiruddin yang juga Pengerusi Industri dan Pelaburan, Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknolgi, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga negeri semalam sambil memberitahu, Intel telah memberi jaminan tiada pekerja yang akan diberhentikan ekoran pemindahan unit itu ke Amerika Syarikat (AS).
Beliau juga mendakwa, jumlah pelaburan di KHTP juga meningkat dengan jumlah pelaburan sebanyak RM1.529 billion sehingga Februari lalu.
"Sehingga hari ini, tiada kilang menutup operasi mereka atau keluar daripada KHTP. Masih ada kira-kira 50 buah kilang menjalankan operasi harian mereka seperti biasa di KHTP," kata Amiruddin.
Itt Chew juga meminta Amiruddin memberitahu jumlah terkini pekerja di KHTP memandangkan taman industri itu pernah mempunyai 23,000 orang pekerja dengan separuh daripadanya adalah profesional seperti jurutera.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan